News

 

Kerjasama JKKK penting jayakan pembinaan menara telekomunikasi luar bandar

Posted on 17 Mar 2026
Source of News: https://www.tvsarawak.my/2026/03/05/kerjasama-jkkk-penting-jayakan-pembinaan-menara-telekomunikasi-luar-bandar/
 

KUCHING, 5 Mac: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menasihatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk kampung supaya memberi kerjasama bagi pelaksanaan projek pembinaan menara telekomunikasi di kawasan masing-masing agar dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Beliau berkata, kerjasama tersebut penting bagi merealisasikan agenda besar kerajaan Sarawak untuk memastikan kawasan luar bandar mempunyai akses internet yang mencukupi.

“Saya menasihati agar JKKK yang berkaitan dapat melihat secara menyeluruh keperluan dan faedah jangka panjang mengapa kemudahan menara telekomunikasi itu perlu dibina di kawasan tersebut.

“Saya nasihatkan agar mereka berbincang dengan cara baik kerana tujuan pembinaan menara telekomunikasi ini adalah untuk membolehkan kawasan luar bandar mempunyai akses internet yang cukup dan stabil kerana kita menggalakkan masyarakat terlibat dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas Program Ziarah Ramadan dan Program Tanggungjawab Sosial di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.

Menurutnya, kemudahan telekomunikasi bukan sahaja memberi manfaat kepada sesebuah kampung, malah membantu golongan muda mendapatkan akses internet stabil bagi tujuan pendidikan serta membuka peluang dalam ekonomi digital termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada masa hadapan.

Julaihi berkata, penjenamaan semula kementerian kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk mempercepat serta memperluas liputan telekomunikasi di seluruh Sarawak.

Menurutnya, selain memperkukuh penyediaan utiliti asas seperti bekalan air, elektrik dan pengedaran gas termasuk bagi menyokong industri hiliran serta penggunaan tenaga berasaskan gas, kerajaan negeri turut meletakkan agenda transformasi digital sebagai keutamaan strategik.

Beliau berkata kerajaan Sarawak telah menubuhkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) sebagai agensi peneraju dalam merangka serta melaksanakan inisiatif digital di negeri ini.

“Melalui kedua-dua agensi ini, kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion sebagai intervensi khusus untuk mempercepatkan transformasi digital di seluruh Sarawak, selain usaha yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Sejajar dengan intervensi itu, kerajaan negeri melaksanakan Program SALURAN yang antara komponen utamanya ialah pembinaan menara pintar (smart tower) di kawasan luar bandar.

Beliau berkata sebanyak 618 menara pintar dibina di seluruh Sarawak bagi mempercepat serta memperluas liputan telekomunikasi, khususnya di kawasan pedalaman yang sebelum ini berdepan capaian internet terhad.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan, sebaliknya dapat dibawa bersama ke arus perdana pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Post Covid-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) dan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030,” katanya.

 


image Polls
image Announcement