News

 

M1.05 bilion diperuntuk kepada MUT di bawah Alternative Funding, RMK13 2026

Posted on 09 Feb 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/02/09/rm105-bilion-diperuntuk-kepada-mut-di-bawah-alternative-funding-rmk13-2026
Julaihi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Kuching semalam. - Gambar Kong Jun Liung
Julaihi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Kuching semalam. - Gambar Kong Jun Liung
 

KUCHING: Sebanyak RM1.05 bilion diperuntukkan Kerajaan Sarawak kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) di bawah Alternative Funding dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peruntukan kewangan yang tinggi itu disalurkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program berkaitan utiliti serta telekomunikasi yang telah diluluskan.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan kewangan yang tinggi kepada kementerian iaitu sebanyak RM1.05 bilion di bawah Alternative Funding dan RMK13 pada tahun 2026 bagi melaksanakan projek dan program utiliti serta telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Julaihi menyeru semua agensi pelaksana supaya melaksanakan projek dan program yang telah diluluskan dengan segera serta mengikut peruntukan yang telah ditetapkan.

“Saya menyeru semua agensi melaksanakan projek dan program yang telah diluluskan dengan segera dan mengikut peruntukan yang ditetapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Julaihi turut menegaskan kepentingan pemantauan berterusan di peringkat lapangan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan sebarang isu dapat dikenal pasti lebih awal.

“Saya juga menyeru agar agensi kerap turun padang dan melakukan pemantauan rapi di tapak lapangan supaya tindakan penyelesaian dapat dilakukan segera sekiranya projek tersebut menghadapi masalah,” katanya.

Beliau menambah, tindakan tegas perlu diambil sekiranya prestasi kontraktor didapati tidak memuaskan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Mengenai inisiatif penambahbaikan infrastruktur fiber, Julaihi memberitahu SACOFA sedang melaksanakan inisiatif penambahbaikan rangkaian sedia ada yang melibatkan kerja naik taraf rangkaian fiber optik, peningkatan kapasiti rangkaian serta pengukuhan infrastruktur sokongan.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menyokong penyediaan perkhidmatan oleh syarikat telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis, U-Mobile dan lain-lain.

“Oleh itu, saya harap SACOFA melaksanakan inisiatif ini seperti yang telah dirancang bagi mengurangkan kesesakan rangkaian serta menyediakan kualiti sambungan Internet yang lebih stabil, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Datu Jafri Lias.

 


image Polls
image Announcement