
KUCHING: Purata liputan keseluruhan bekalan air di Sarawak kini pada tahap 85.6 peratus, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.
Menurutnya, bagi liputan bekalan air di kawasan luar bandar, ia kini telah mencapai 71 peratus berbanding 61.9 peratus pada 2018.
Manakala di kawasan bandar pula, kadar liputan bekalan air adalah 99 peratus.
Justeru, untuk memastikan keterjaminan bekalan air di Sarawak secara holistik untuk jangka masa panjang katanya, Kerajaan Sarawak sedang giat melaksanakan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak yang telah menunjukkan impak positif.
“Kementerian saya kini sedang giat membangunkan sistem grid bekalan air termasuk muka sauk, loji rawatan air, pemasangan saluran paip, tangki air simpanan, stesen pam penggalak dan komponen lain yang berkaitan selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
“Pelaksanaan sistem grid bekalan air merentasi seluruh Sarawak secara berperingkat yang menghubungkan Wilayah Selatan, Tengah dan Utara,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menjelas lanjut Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak melaksanakan sembilan projek loji rawatan air utama di bawah Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak bagi memastikan bekalan air bersih yang stabil dan mencukupi di Wilayah Selatan.
Pelaksanaan projek mega tersebut katanya, melibatkan kawasan Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong dengan kos keseluruhan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Projek ini melibatkan pembinaan dan naik taraf sebanyak sembilan buah loji rawatan air utama serta pemasangan saluran paip grid air dengan anggaran sepanjang 1,132 km. Kesemua projek ini dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Sementara sistem grid bekalan air di Wilayah Tengah pula katanya, meliputi bahagian Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit melibatkan pembinaan dan naik taraf sebanyak 12 buah loji rawatan air utama dan pemasangan saluran paip grid air dengan anggaran sepanjang 1,133km.
“Kesemua projek ini juga dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Manakala sistem grid bekalan air di Wilayah Utara pula ujar beliau, adalah meliputi bahagian Bintulu, Miri dan Limbang.
“Ia melibatkan pembinaan dan naik taraf sebanyak 11 loji rawatan air utama dan pemasangan saluran paip grid air dengan anggaran sepanjang 619km dan kesemua projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau yakin apabila Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak ini siap sepenuhnya kelak, bekalan air di Sarawak akan menjadi lebih stabil dan mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna di negeri ini.
“Manakala kawasan off grid pula akan dibekalkan dengan bekalan air melalui sistem Sarawak Alternative Water Supply (SAWAS).
“Dan untuk makluman, secara keseluruhan jumlah kapasiti loji rawatan air di Sarawak kini mencukupi untuk menampung permintaan air iaitu 2,173 juta liter sehari (JLH),” ujarnya.