News

 

MUT Sarawak catat rekod sifar ketidakpatuhan sejak 2021

Posted on 31 Oct 2025
Source of News: https://suarasarawak.my/mut-sarawak-catat-rekod-sifar-ketidakpatuhan-sejak-2021/

Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Datuk Jafri Lias, menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Integriti MUT 2025 di Hotel Riverside, hari ini. FOTO: Ghazali
 
 

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak terus memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus baik apabila mencatat rekod sifar kes ketidakpatuhan sejak tahun 2021.

Setiausaha Tetap MUT, Datuk Jafri Lias, berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen tinggi warga kementerian terhadap pematuhan undang-undang dan peraturan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti MUT 2025 di Hotel Riverside di sini, hari ini.

Jafri berkata, usaha membudayakan integriti tidak akan bermakna tanpa tindakan dan pelaksanaan berterusan.

“Integriti tanpa usaha atau tindakan ibarat benih tanpa tanah kerana tumbuhan tidak akan tumbuh.

“Justeru, bagi membudayakan amalan integriti di kementerian, pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2021–2025 yang telah mencapai 100 peratus pelaksanaan inisiatif yang dirancang, melibatkan keseluruhan 26 inisiatif.

“Langkah ini memperkukuh tadbir urus yang baik dengan menyediakan kawalan dan pencegahan yang lebih berkesan,” tambahnya.

Menyentuh mengenai standard kerja, beliau berkata MUT kini memiliki pensijilan ISO 9001:2015 bagi 52 prosedur dan proses kerja, termasuk bidang perolehan kewangan, aset dan penguatkuasaan.

“Kita mahu memastikan setiap proses kerja berjalan dengan seragam, efektif dan selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Dalam aspek pengurusan kewangan dan aset, kementerian turut menerima pengiktirafan lima bintang selama dua tahun berturut-turut (2023 dan 2024).

“Pencapaian ini tidak datang dengan mudah. Ia hasil kerja berpasukan, disiplin dan rasa tanggungjawab semua pihak,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa kementerian mendahului agensi lain dengan memperluaskan 39 perkhidmatan dalam talian menerusi sistem e-Utilities yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja.


“Pendigitalan ini membuktikan kesungguhan kita untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat dengan cara yang lebih efisien dan mesra pengguna,” katanya.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan pelancaran buku Catalyzing Progress: Ministry of Utility and Telecommunication Sarawak Initiatives 2023 & 2024 yang mendokumentasikan inisiatif utama kementerian sepanjang dua tahun lalu.

“Buku ini penting sebagai rujukan kepada semua agensi agar kejayaan yang dicapai dapat dikongsi dan dijadikan panduan pada masa akan datang,” jelasnya.

Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MUT dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam bidang pensijilan, pemeriksaan serta pengujian peralatan elektrik dan gas yang dikawalselia oleh kementerian.

 


image Announcement