Tertuduh (depan) dilihat di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini selesai dijatuhkan hukuman.
KUCHING: Seorang penganggur lelaki dari Miri dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri bekalan elektrik daripada SESCO, tahun lalu.
Hakim Saiful Bahari Adzmi menjatuhkan hukuman itu terhadap Hii King Lee, 49, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik (Chapter 50).
Tertuduh didakwa dengan tidak jujur mengelakkan tenaga elektrik yang dibekalkan melalui meter elektrik daripada merekodkan dengan tepat penggunaan sebenar tenaga tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 10.50 pagi pada 21 Jun 2023 di sebuah lot kedai komersial di Batu 17, Jalan Kuching-Serian, Siburan.
Fakta kes mendedahkan sepasukan pemeriksa dari Syarikat SESCO Berhad menjalankan pemeriksaan rutin meter elektrik yang dipasang di sekitar premis komersial tersebut.
Pasukan kemudian mendapati terdapat penyelewengan dikesan di mana kabel disambung terus dari pendawaian utama dan memintas meter elektrik.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat 60 unit mesin perlombongan bitcoin mata wang kripto yang disambungkan terus melalui kabel penoreh terus, yang kesemuanya memintas meter elektrik.
Berikutan itu, meter elektrik bersama kabel sambungan terus (tapping) telah dibuka dan disita sebagai barang bukti oleh pasukan operasi.
Siasatan lanjut mendapati terdapat perjanjian sewaan antara Hii dan Chang Foh Foong, 53.
Bagaimanapun, Chang selaku tuan tanah kepada lot kedai yang menyewakan premis tersebut kepada Hii dan terdahulunya didakwa di bawah Seksyen sama telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Ia memandangkan Chang merupakan pelanggan berdaftar bagi meter elektrik tersebut dan boleh dipertanggungjawabkan terhadap tunggakan bil selaras dengan Seksyen 33A Ordinan Elektrik (Cap. 50).
Difahamkan, Hii kini sedang menjalani hukuman penjara enam bulan selepas dia disabitkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di Miri pada 11 Julai 2025 atas kesalahan sama iaitu kecurian elektrik, juga berkaitan dengan aktiviti perlombongan mata wang kripto.
Selain itu, Hii kini berdepan beberapa kes berkaitan dadah dan kes rasuah di Miri.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin.
Hii tidak diwakili peguam sementara Chang diwakili peguam Michael Kong.