News

 

Peniaga besi buruk beli barang curi harus dikenakan hukuman lebih berat: Abang Johari

Posted on 03 Jul 2024
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2024/07/03/peniaga-besi-buruk-beli-barang-curi-harus-dikenakan-hukuman-lebih-berat-abang-johari
Abang Johari melawat reruai pameran pada majlis pelancaran Kempen Anti-Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di BCCK, hari ini. Turut kelihatan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi (kiri) dan tetamu kehormat lain. - Gambar UKAS
Abang Johari melawat reruai pameran pada majlis pelancaran Kempen Anti-Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di BCCK, hari ini. Turut kelihatan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi (kiri) dan tetamu kehormat lain. - Gambar UKAS


KUCHING: Peniaga besi buruk yang didapati membeli barangan curi harus dikenakan hukuman denda lebih berat sebagai usaha menangani kes kecurian dan vandalisme terutama melibatkan kemudahan utiliti.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan berbincang dengan Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Saferi Ali berhubung perkara tersebut.

"Tadi saya ada lihat berkenaan undang-undang ke atas peniaga barangan lusuh kita ini. 

"Jadi, saya akan berbincang dengan Peguam Besar Negeri mengenai perkara ini kerana hukuman yang dikenakan, RM5,000 sangat sikit," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Anti-Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata pindaan ke atas undang-undang itu belum dapat diputuskan lagi.

"Ini kerana undang-undang tersebut adalah di bawah kerajaan persekutuan.

"Namun, saya akan merujuk kepada Peguam Besar Negeri Sarawak bagi melihat sama ada ia boleh menggunakan undang-undang lain seperti di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Mungkin kita melihat undang-undang lain yang boleh diguna pakai, seperti PBT kerana saya nampak dendanya tidak memadai kalau RM5,000," katanya.

Ketika ini di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barangan Lusuh 1946, kesalahan pertama melibatkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Abang Johari menggesa pemimpin dan ketua-ketua masyarakat agar memainkan peranan dalam menjaga keselamatan di kawasan masing-masing dengan tidak membiarkan kegiatan kecurian terus berleluasa.

"Ketua masyarakat mesti kerja, kamu mesti pantau kawasan termasuk pencuri... kalau tidak buat kerja, tahu-tahu sajalah, jangan menyesal kerana rakyat lebih penting daripada individu," katanya.

Malah, beliau menasihatkan syarikat-syarikat utiliti supaya memantau dan terus menjaga betul-betul aset mereka khususnya di kawasan strategik.

"Ambillah orang kampung, bagi elaun untuk jaga (utiliti) atau letakkan pegawai keselamatan seperti polis bantuan di sana.

"Kalau buat pagar, buatlah pagar yang kuat... jangan gunakan dawai sahaja," katanya sambil mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama memerangi kegiatan vandalisme terhadap kemudahan awam.

 


image Polls
image Announcement