
KUCHING: Pekerja syarikat pengedar gas LPG bersubsidi di bawah naungan MYGAZ Sdn Bhd tidak akan terjejas selepas PETROSNiaga dilantik sebagai pengedar tunggal di Sarawak berkuat kuasa 1 Disember depan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini kerana 16 pengedar di bawah syarikat MYGAZ Sdn Bhd boleh beralih kepada PETROSNiaga untuk mendapatkan bekalan gas LPG bersubsidi pada bila-bila masa.
“Dengan ini, tidak timbul isu kehilangan pekerjaan seperti yang didakwa oleh pihak yang berkaitan sebagaimana juga semasa MYGAZ Sdn Bhd mengambil alih operasi daripada Shell pada 2013.
“Kementerian saya percaya keupayaan PETROSNiaga untuk memastikan bekalan gas LPG bersubsidi adalah mencukupi serta mampu mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi Sarawak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Julaihi berkata, sudah tiba masanya untuk syarikat tempatan Malaysia sendiri yang berpangkalan di Sarawak iaitu PETROSNiaga dilantik sebagai pengedar gas LPG bersubsidi di Sarawak.
“Saya yakin PETROSNiaga dengan kekuatan sebanyak 65 pengedar serta 280 subpengedar akan memberi peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Sarawak,” ujar beliau.
Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, Julaihi berkata, kementerian kini membuat penyusunan komersial untuk mengawal selia dan menguatkuasakan aktiviti pengedaran gas LPG bersubsidi dengan lebih berkesan dan efisien di Sarawak.
Menurutnya, PETROSNiaga iaitu anak syarikat PETROS milik Kerajaan Sarawak akan menjadi pengedar tunggal bagi pasaran LPG bersubsidi yang melibatkan melebihi 700,000 silinder gas di seluruh Sarawak mulai 1 Disember 2023.
Pada masa ini katanya, terdapat dua syarikat pembekal LPG bersubsidi iaitu PETROSNiaga menguasai 68 peratus pasaran di seluruh Sarawak manakala 32 peratus dikuasai oleh syarikat MYGAZ Sdn Bhd.
“PETROSNiaga adalah syarikat tempatan yang dimiliki oleh PETROS sebanyak 51 peratus ekuiti dan 49 peratus milik Petronas Dagangan Berhad (milik 100 peratus Malaysia),” jelas beliau.
Manakala MYGAZ Sdn Bhd kata Julaihi, adalah anak syarikat SIAM Gas yang merupakan sebuah syarikat pembekal LPG dari Thailand.
“Selepas pertimbangan teliti berhubung syarikat MYGAZ Sdn Bhd, kementerian saya telah memutuskan bahawa lesen LPG bersubsidi untuk syarikat MYGAZ Sdn Bhd yang tamat pada 30 November 2023 tidak diperbaharui.
“Ini bermakna MYGAZ Sdn Bhd tidak lagi dibenarkan menjalankan perniagaan LPG bersubsidi bermula 1 Disember 2023,” katanya.
Sehubungan itu, Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak berterima kasih kepada MYGAZ Sdn Bhd yang telah menjadi pembekal Gas LPG bersubsidi sejak mengambil alih daripada Shell selama 10 tahun sejak 2013.
“Bagaimanapun lesen LPG tanpa subsidi untuk MYGAZ Sdn Bhd masih lagi sah sehingga 29 Jun 2024 dan mereka masih boleh menjalankan perniagaan LPG tanpa subsidi di Sarawak,” katanya.