SONG: Kerajaan telah memperuntukkan RM235 juta kepada Song (Katibas) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pelaksanaan pelbagai jenis projek di sini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal berkata hanya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang mampu melaksanakaan pembangunan secara berperingkat-peringkat kepada penduduk di luar bandar seperti daerah Song.
“Kita (BN) berjanji dan kita menepati janji kita. Kebanyakan projek pembangunan ini masih di peringkat pelaksanaan.
“Kita tidak pernah memberikan janji kosong kepada rakyat seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Song-Sipan/SK Temalat di Balai Raya Song, di sini semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi, calon BN DUN N.55 Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan dan isteri beliau Datin Marie Theresa.
Shafie berkata kerajaan sentiasa prihatin dan memahami masalah yang dihadapi oleh penduduk luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak.
“Tetapi kita harus faham, keadaan logistik di sini adalah punca mengapa kita tidak dapat mempercepatkan projek-projek pembangunan di sini. Pelbagai aspek perlu dikaji dan diambil kira sebelum pelaksanaan pembangunan dilakukan.
“Malah, masalah pengangkutan juga menjadi penyebab kenapa kita tidak dapat mempercepatkan pembangunan di sini. Kita memerlukan masa yang agak lama untuk membawa bahab-bahan binaan ke sini,” katanya.
Beliau juga menyeru agar rakyat di luar bandar sabar menunggu pelaksanaan semua projek pembangunan yang telah dijanjikan oleh kerajaan.
“Di Katibas ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 1.1 juta untuk projek bekalan air di mana tujuh daripadanya telah siap dan sebanyak 55 rumah panjang telah menerima bekalan elektrik di bawah Rural Electricity Supply (RES) yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati para penduduk setempat agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta semangat perpaduan yang telah wujud di kalangan penduduk setempat.
“Kejayaan utama Malaysia ialah bukan sekadar membawa kemajuan dari segi infrastruktur untuk rakyat, malah kita di sini berjaya mengekalkan perpaduan serta keharmonian hidup walaupun terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
“Adalah penting untuk kita mengekalkan semangat perpaduan yang telah wujud dalam kehidupan seharian kita pada masa ini untuk kebaikan generasi masa akan datang. Dan sokonglah calon BN, yang merupakan jambatan di antara rakyat dengan kerajaan bagi membolehkan kerajaan terus menyalurkan lebih banyak pembangunan di sini,” katanya.
Beliau turut merasmikan majlis pecah tanah untuk Jalan Song-Sipan/ SK Temalat yang terletak berdekatan dengan Balai Bomba Song di Jalan Sungai Chapi.
Turut hadir Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcos M. Mojigoh, Timbalan Residen Selamat Jati Yanjah, Timbalan Walikota Kaunselor Jefferson Jamit, Temenggung Datuk Kenneth Kanyan dan Pegawai Daerah Song Galong Luang.
http://www.theborneopost.com/?p=118225