News

 

Liputan elektrik luar bandar seluruh Sarawak setakat ini 97.9 peratus

Posted on 23 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online

Liputan elektrik luar bandar seluruh Sarawak setakat ini 97.9 peratus

 

KUCHING: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, liputan bekalan elektrik luar bandar di seluruh Sarawak setakat ini adalah 97.9 peratus.

"Kementerian saya komited terhadap sasaran mencapai liputan penuh bekalan elektrik di luar bandar menjelang tahun 2025," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM2.37 bilion bagi melaksanakan bekalan elektrik di luar bandar melibatkan 188 projek.

Sehingga kini katanya, 116 projek daripada keseluruhannya telah disiapkan manakala 69 lagi sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan tiga projek dalam peringkat tender.

Kesemua projek itu akan memberi manfaat kepada 29,500 isi rumah, tambahnya.

"Dalam memperkasakan bekalan elektrik luar bandar, kementerian saya melalui Sarawak Energy telah merangka secara komprehensif Pelan Induk Pembangunan Elektrik Luar Bandar 2030.

"Pelan ini memfokus kepada penambahbaikan dan penaiktarafan sistem bekalan elektrik luar bandar Sarawak dengan inisiatif PCDS (Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak) 2030," katanya.

Menurut beliau selaras dengan pelan induk itu, kementeriannya telah mengemukakan projek-projek di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan nilai siling peruntukan RM118.3 juta.

Projek-projek itu ialah sambungan bekalan elektrik dari Sistem Grid Utama ke sistem ‘Off Grid' Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES), penggantian berjadual komponen utama seperti bateri yang melebihi jangka hayat enam bulan bagi sistem SARES dan pembekalan elektrik kepada pemohon tambahan atau lewat Dana Permohonan atau Lewat (ALAF).

Mengulas lanjut mengenaii ALAF, Julaihi berkata setakat ini 37,000 isi rumah telah memohon skim itu berbanding 35,000 permohohan sebelum ini dan daripada jumlah itu 12,740 isi rumah telah siap dilaksanakan berbanding 10,027 isi rumah pada November lepas.

Manakala 6,730 isi rumah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,11,530 isi rumah lagi masih dalam peringkat survei dan bakinya 6,000 isi rumah masih dalam peringkat tapisan, tambahnya.

Sementara itu beliau berkata, bahagian Limbang belum lagi siap disambung ke Grid Utama (elektrik), sambungan talian penghantaran ke Grid Utama dari Miri ke daerah Limbang dan daerah Lawas sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 2025 di bawah projek Northern Grid Extension.

"Setakat ini, penjanaan bekalan untuk ‘major load centre' di bahagian Limbang adalah daripada 18 genset dengan jumlah kapasiti penjanaan 26.5MW di bandar Limbang  manakala 11 genset berkapasiti 14.4MW di bandar Lawas.

"Bagi memastikan kapasiti penjanaan mencukupi dan menambah baik prestasi bekalan di daerah Lawas, tiga genset berkapasiti 3MW akan dihantar ke daerah itu bulan depan (Jun) sementara menunggu projek sambungan ke Grid Utama siap," ujarnya.

 


image Polls
image Announcement