News

 

Permintaan penggunaan elektrik untuk domestik, komersial, industri dijangka meningkat 33 peratus

Posted on 23 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online

Permintaan penggunaan elektrik untuk domestik, komersial, industri dijangka meningkat 33 peratus

JULAIHI
 
JULAIHI
 

KUCHING: Permintaan penggunaan elektrik untuk domestik, komersial dan industri di Sarawak dijangka meningkat 33 peratus (2,122 megawatt) menjelang tahun 2028.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, peningkatan 67 peratus (4,338 megawatt) juga dijangka berlaku pada tahun yang sama, melibatkan pengguna Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan Perjanjian Pertukaran Tenaga (PEA).

Beliau berkata, kapasiti penjanaan yang ada di Sarawak ketika ini ialah 5,745 megawatt, cukup untuk memenuhi permintaan semasa sebanyak 4,627 megawatt.

“Daripada jumlah permintaan semasa, 37 peratus daripadanya (1,712 megawatt) adalah daripada domestik, komersial dan industri manakala 67 peratus (2,915 megawatt) adalah daripada PPA untuk industri intensif tenaga di Taman Perindustrian Samalaju dan PEA ke Kalimantan Barat melalui Titik Sambungan Bengkayang.

"Mengenai campuran kapasiti penjanaan, kuasa hidro menyumbang 60 peratus daripada ini, diikuti  22 peratus daripada bahan api gas, 17 peratus daripada arang batu dan satu peratus daripada diesel," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Julaihi berkata beberapa projek pembinaan stesen jana kuasa dan talian penghantaran baharu sedang dilaksanakan bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

Menurutnya permintaan itu dijangka meningkat kepada 6,460 megawatt dan kapasiti penjanaan juga meningkat kepada 8,240 megawatt pada 2028.

Sementara itu, beliau berkata bagi menyahut seruan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, rakyat digalakkan menjana elektrik menggunakan panel solar.

Beliau berkata, setakat ini dua skim Net Energy Metering (NEM) telah beroperasi iaitu satu dalam pelaksanaan dan empat dalam peringkat penilaian teknikal.

"Pada Mac lalu, saya telah melancarkan satu projek perumahan pertama yang menggunakan skim NEM di Sarawak, melibatkan 15 buah rumah.

"Skim NEM merupakan satu mekanisme pengebilan di mana tenaga yang dijana daripada panel solar akan diimbangi dengan tenaga digunakan daripada grid," katanya.

Beliau menambah, mulai dari sekarang permohonan Skim NEM boleh dibuat di kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy.

"Kementerian saya bersama Sarawak Energy akan terus memudah cara pelaksanaan skim NEM bagi menggalakkan penglibatan semua pihak menyertai skim ini," tambahnya.

 


image Polls
image Announcement