News

 

70 menara SMART MCON sudah beroperasi, 55 lagi menyusul menjelang Hari Gawai

Posted on 26 Apr 2023
Source of News: https://suarasarawak.my

70 menara SMART MCON sudah beroperasi, 55 lagi menyusul menjelang Hari Gawai

Datuk Julaihi Narawi (dua kiri) bercakap pada sidang media. Turut kelihatan Timbalan Menteri Utili dan Komunikasi Datuk Liwan Lagang (kiri) dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Komunikasi Jafri Lias (kanan).

 

KUCHING: Sebanyak 70 menara telekomunikasi SMART menggunakan teknologi perkongsian pemancar Multi Operator Core Network (MOCN) telah beroperasi pada Hari Raya Aidilfitri ini, kata Datuk Julaihi Narawi.

Menteri Utiliti dan Komunikasi itu berkata, proses pembinaan dan pemasangan menara dan peralatan telekomunikasi tersebut dijalankan secara berterusan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Di samping itu, katanya menara tersebut turut menyediakan perkhidmatan rangkaian seperti Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

“Kita menjangkakan sebanyak 55 menara lagi akan beroperasi menjelang Hari Gawai.

“Proses ini adalah berlanjutan dan SDEC sekarang memasang peralatan telekomunikasi di semua menara yang telah dibina dan sedang dibina,” katanya pada sidang media sempena majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Datuk Liwan Lagang dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Komunikasi Jafri Lias.

Beliau berkata, pembinaan sebuah menara telekomunikasi tersebut memerlukan 18 bulan untuk siap dan terdiri daripada dua peringkat.

Katanya, peringkat pertama membabitkan pembinaan menara yang memakan masa sembilan bulan dan diikuti sembilan bulan lagi untuk pemasangan peralatan telekomunikasi sebelum ia dapat digunakan oleh orang ramai.

Ditanya mengenai maklum balas berhubung penggunaan teknologi MCON, Julaihi berkata, setakat ini, kesemua perkhidmatan rangkaian telekomunikasi boleh digunakan.

Beliau memberitahu, meskipun hanya satu penyedia perkhidmatan rangkaian telah dipasang pada menara tersebut, lain-lain penyedia perkhidmatan juga boleh digunakan.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa apabila menara itu sudah siap, tidak bermakna bahawa kita dapat menggunakan menara itu sehinggalah peralatan telekomunikasi itu telah terpasang.

“Ia berfungsi sebagai menara pengulang dan berfungsi sebagai medium yang menghantar isyarat telekomunikasi kepada satu tapak yang lain yang sama seperti gentian optik, namun tanpa wayar,” jelasnya.

 


image Polls
image Announcement