picture

News

 

Sarawak komited percepatkan kemajuan ke arah pengurusan air yang mampan

Posted on 22 Mar 2023
Source of News: https://suarasarawak.my/sarawak-komited-percepatkan-kemajuan-ke-arah-pengurusan-air-yang-mampan/


Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia di Bintulu.
 
 

BINTULU: Sarawak mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Lembaga Air Sarawak (SWA) sebagai badan korporat bagi membolehkan sistem pengurusan air diurus dengan lebih teratur dan mampan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, SWA akan menggabungkan semua operasi air yang ada seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan Laku Management Sdn Bhd.

Katanya, penubuhan SWA perlu dilakukan dengan teliti, dengan mengambil kira semua aspek penggubalan dasar, pengurusan dan pembangunan sumber manusia, model perniagaan dan kewangan, serta pembangunan teknologi maklumat.

“Saya yakin, usaha-usaha ini dapat meningkat dan memantapkan lagi pengoperasian, pengurusan dan kawal selia bekalan air secara holistik dan bersepadu di Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Selaras dengan matlamat itu ujar beliau Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi telah menganjurkan satu bengkel bagi membincangkan mengenai cadangan penubuhan badan berkenaan melalui kehadiran lebih 100 peserta melibatkan agensi  yang berkepentingan.

Pada masa yang sama katanya, penubuhan badan itu juga bertujuan mengatasi masalah rakyat berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih dan terawat walau pun berdepan pelbagai masalah termasuk wilayah Sarawak luas dan topografi yang unik.

“Kesungguhan dan komitmen Sarawak ini juga dapat dilihat melalui peruntukan besar sebanyak RM4 bilion melalui Projek Rakyat melaksanakan pelbagai projek bekalan air di seluruh negeri ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, tema sambutan ‘mempercepatkan perubahan,’ yang memfokuskan kepada keperluan mendesak untuk mempercepatkan kemajuan ke arah pengurusan air yang mampan amat relevan dalam konteks Sarawak.



picture Announcement