picture

News

 

Pengurusan air di Sarawak bakal diuruskan sebuah badan berstatus korporat

Posted on 16 Mar 2023
Source of News: https://suarasarawak.my
 
BERCAKAP... Julaihi menjawab soalan daripada pemberita. Photo Hakeem Well

KUCHING: Pengurusan bekalan air di Sarawak bakal diuruskan oleh sebuah badan berstatus korporat di bawah Lembaga Air Sarawak (SWA), kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, usaha tersebut bagi memastikan kelestarian sumber air sekali gus  mengukuhkan kecekapan agensi-agensi bekalan air di Sarawak menerusi penubuhan satu entiti bekalan air bersepadu di negeri ini.

Katanya, penubuhan badan berstatus korporat dan satu entiti bekalan air bersepadu tersebut dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Penubuhan satu entiti bekalan air Sarawak dan badan korporat ini begitu penting kerana apabila bercakap mengenai satu entiti dari segi pihak yang mengendalikan pengurusan dan bekalan air, ia melibatkan hampir 4,000 jurutera pegawai dan kakitangan yang terlibat.


RAKAM KENANGAN… Julaihi (tengah) merakam kenangan bersama peserta bengkel. Photo Hakeem Well.

“Disebabkan itu kami menganggapnya sebagai latihan yang sangat besar (massive exercise) dan kita perlu meneliti dan berhati-hati mendapatkan maklumat daripada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Satu Entit Bekalan Air di Sarawak dan Lembaga Air Sarawak (SWA) Sebagai Badan korporat di Hotel Raia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata semua maklumat turut dikumpul menerusi Bengkel Satu Entiti Bekalan Air di Sarawak dan Lembaga Air Sarawak (SWA) Sebagai Badan korporat yang diadakan selama tiga hari bermula 13 Mac lepas.

Katanya, menerusi penyertaan lebih 100 peserta melibatkan 25 agensi berkaitan, maklumat dapat dikemaskini supaya penubuhan satu entiti dan badan korporat itu tidak akan menimbulkan rungutan dan masalah pada masa akan datang.

“Selain itu, Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal juga telah mengadakan lawatan penandaarasan ke beberapa syarikat bekalan air seperti di Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Ini merupakan langkah awal yang dilakukan dan kita akan mendapat semua maklumat-maklumat berkaitan dalam usaha menubuhkan satu entiti dan satu badan koprat  pengurusan bekalan air di Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin usaha penubuhan satu entiti bekalan air Sarawak dan satu badan korporat di bawah SWA tersebut mampu dicapai mengikuti sasaran iaitu dalam jangka masa dua tahun.



picture Announcement