SERIAN: Rakyat di sini semalam bagai mendapat ‘durian runtuh’ sejurus sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membuat pengumuman peruntukkan bagi infrastruktur asas di kawasan itu.
Najib yang merasmikan Program Sejiwa Senada peringkat bahagian Samarahan membuat pengumuman mengejut peruntukan bernilai RM252.85 juta bagi tujuan bekalan air, elektrik serta menaik taraf klinik.
“Kerajaan bersetuju untuk me-nyiapkan projek membina bekalan air luar bandar di kawasan Tebedu dengan kos RM105 juta dan ia akan ditender pada akhir Mac ini yang memberi manfaat kepada 2,910 buah rumah di sekitarnya,” kata beliau sejurus sahaja selepas merasmikan program berkenaan, di sini.
Pemimpin nombor satu negara itu turut mengumumkan projek membina dan menyiapkan bekalan air luar bandar bagi wilayah Serian dengan kos RM116.5 juta yang memberi manfaat kepada 4,416 buah rumah.
Selain itu cadangan projek bekalan elektrik luar bandar bagi kawasan Parlimen Serian dengan kos RM18.7 juta dengan sembilan projek me- libatkan 608 buah rumah.
“Kerajaan juga bersetuju untuk menyiapkan projek Klinik Kesihatan Teng Bukap di Padawan dengan kos RM12.5 juta selain projek menyediakan penghawa dingin bagi Dewan Masyarakat Serian dengan kos RM120,000,” katanya.
Khabar gembira itu bukan sahaja daripada kerajaan persekutuan tetapi kerajaan negeri yang memperuntukkan RM90 juta bagi dua projek jalan di kawasan Serian yang di-umumkan oleh Taib.
“Kita memperuntukan sebanyak RM30 juta bagi projek Jalan Terbat-Mapu yang tendernya belum lagi dipastikan.
“Selain itu kita juga memperuntukan RM60 juta bagi projek Munggu Kopi juga di Serian yang akan kita jalankan secara berperingkat,” katanya.
Taib terdahulu dalam ucapannya berkata di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Sarawak mendapat RM5.7 bilion sehingga 2012 bagi menjalankan projek infrastruktur asas termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Daripada projek berkenaan 700km di bawah projek jalan luar bandar telahpun dimulakan dan satu pertiga daripadanya telah disiapkan.
Sementara itu di bawah projek bekalan elektrik luar bandar kira-kira 12,000 buah rumah berjaya dibekalkan bekalan elektrik dan sebanyak 4,000 buah rumah bakal diberi peluang untuk melaksanakan projek skim bekalan air luar bandar.
Manakala bagi program 1AZAM pula yang bertujuan untuk membasmikan kemiskinan seramai 2,866 ketua isi rumah menerima pelbagai jenis bantuan.