MAJLIS PENYERAHAN HAKMILIK SISTEM JANAKUASA SOLAR SARES
NANGA MERIT (A & B) BAHAGIAN KAPIT
DI RH. ENTILI, NG. MUSA, PALA WONG, BTG. RAJANG, KAPIT
Kapit, 28 September 2020: Sebanyak 13 buah rumah panjang dengan 290 buah pintu keseluruhannya telah menerima bekalan elektrik 24 jam menerusi sumber tenaga elektrik alternatif iaitu skim SARES (Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme). Antara rumah panjang tersebut adalah Pekan Nanga Merit, Rumah Seking, Rumah Entili, Rumah Anthony Jiram, Rumah Yan Ngumbang, Rumah Welfred Guyang, Rumah Lawrence Lannie, Rumah Milang, Rumah Berundang, Rumah Ibin, Rumah Rajau, Rumah Sadang dan Rumah Julan.
Rumah panjang tersebut telah menerima hakmilik sistem SARES dalam Majlis Penyerahan Hakmilik Sistem Janakuasa Solar SARES Nanga Merit (A & B) Bahagian Kapit di Rumah Entili, Nanga Musa, Kapit yang telah disempurnakan oleh Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar.
Datuk Liwan mengalakkan agar penduduk kampung menjaga sistem SARES agar ianya bertahan dalam jangka masa panjang. Kapasiti penggunaan tenaga elektrik bagi setiap isi rumah juga perlu diguna secara berpatutan dan tidak melebihi kapasiti yang telah ditetapkan.
Projek SARES ini merupakan inisiatif kerajaan negeri Sarawak dibawah Kementerian Utiliti Sarawak dan dilaksanakan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membekalkan elektrik 24 jam kepada penduduk yang terutamanya berada di pedalaman.
Turut hadir dalam majlis serah hakmilik tersebut adalah Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Dr. Chen Shiun, Naib Presiden Elektrik Luar Bandar (SEB).
Selain itu, rancangan program SARES untuk bahagian Kapit bagi tahun 2021 akan melibatkan 115 buah rumah Panjang dengan 2265 isi rumah keseluruhannya akan turut menikmati bekalan elektrik 24 jam setelah sistem SARES siap kelak.