KUCHING: Kementerian Utiliti sedang membangunkan sistem bekalan air yang baharu bagi kawasan pesisir pantai di wilayah tengah untuk mengatasi masalah tekanan air rendah di situ termasuk di Pulau Bruit.
Menterinya Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata sistem yang dibangunkan sebelum ini di bawah kerajaan persekutuan terdahulu tidak dapat digunakan kerana masalah sumber air.
Beliau berkata sistem bekalan air yang ada di kawasan itu sekarang dibangunkan di bawah projek Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE) dan dibahagikan kepada lapan pakej merangkumi Hab Halal Tanjung Manis.
"Pakej ini sudah siap dan tiada masalah tetapi berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan air disebabkan itu seluruh sistem ini tidak boleh digunakan kerana perolehan air tidak mencukupi.
"Jumlah air yang sepatutnya dihasilkan ialah 125 juta liter sehari tetapi tidak sampai separuh daripada jumlah itu dapat dihasilkan iaitu hanya 50 juta liter sehari dan terdapat lima perigi dibina (dalam pakej tersebut) ada antaranya hanya menghasilkan 10 juta liter sehari atau kurang," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) dan SOP Pentadbiran Kontrak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di sini, hari ini.
Dr Rundi berkata bagi menyelesaikan masalah itu, kementeriannya menerusi JBALB mencari tapak atau sumber air baharu pada masa sama mengekalkan perigi yang dapat menghasilkan air 25 juta liter sehari sebagai pelengkap kepada sistem baharu yang sedang dibangunkan.
Menjelas lanjut beliau berkata kekangan kepada usaha menggunakan semula sistem sedia ada ialah sumber air mengandungi kandungan amonia yang tinggi.
Menurutnya masalah utama kawasan pesisir pantai di negeri ini adalah struktur tanahnya yang lembut serta kaya dengan sumber air paya (black water), tidak sesuai sebagai sumber air bersih.
"Ini adalah program selama dua tahun dan ia disenarai dalam kawasan yang kerap berlaku bekalan air.
"Sebaik program ini siap pada 2020 kita akan mempunyai bekalan air yang mencukupi bagi kawasan ini sehingga ke Pulau Bruit dan kawasan sekitar," jelasnya.
Beliau berkata kementeriannya akan menaik taraf apa jua fasiliti termasuk High Level Tank (HLT) sama ada menukarkannya menjadi pam penggalak, stesen penggalak dan sebagainya.
Mengenai banyak HLT yang tidak berfungsi, Dr Rundi berkata HLT itu dibangunkan oleh Kerajaan Pusat terdahulu di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak boleh digunakan kerana tidak disiapkan dengan pakej penuh.
"Kita sedang menaik taraf HLT ini dengan melengkapkannya dengan pam penggalak, saluran paip dan sebagainya supaya ia dapat digunakan.
"Masalah ini tidak hanya berlaku di wilayah tengah tetapi juga di Samarahan...Kita serius menyelesaikan masalah ini sebelum melaksanakan sistem grid air di seluruh negeri," katanya.