News

 

Projek tenaga solar bakal terangi Rumah Andah

Posted on 19 Aug 2016
Source of News: http://www.theborneopost.com/2016/08/19/projek-tenaga-solar-bakal-terangi-rumah-andah/

BATANG AI: Sarawak Energy Berhad (SEB) akan melaksanakan projek bekalan elektrik tenaga solar di Rumah Andah, Nanga Sumpa di sini dalam masa terdekat.

Pengurus Kanan (Bahagian Tenaga Diperbaharui) SEB, Goh Chin Chai berkata projek tersebut telah diluluskan dan menunggu bajet untuk dilaksanakan.

“Kami berharap mendapat bajet dalam bulan depan untuk menyediakan bekalan elektrik tenaga solar kepada Rh Andah dan ia dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan,” katanya ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Goh menambah projek tersebut dianggarkan menelan kos kira-kira RM1.5 hingga RM2 juta iaitu melibatkan sebanyak 51 keluarga.

“Kami mungkin memasang sistem solar berpusat untuk Rh Andah kerana ia mempunyai bilangan rumah yang banyak,” katanya.

Sementara, Goh berkata SEB kini telah melaksanakan projek bekalan elektrik tenaga solar di enam buah rumah panjang yang terletak di pedalaman kawasan ini.

Katanya, enam rumah panjang terbabit ialah Rh Manggat di Menyang Taih, Rh Kino di Menyang Sedi, Rh Brown di Stapang, Rh Griffin di Ng Jengin, RH Jangong di Pala Taong dan Rh Ninting di Ng Jambu.

Jelas beliau, kesemua projek tanggungjawab sosial korporat SEB yang mula dilaksanakan sejak 2014 itu adalah bernilai lebih RM2 juta.

“Dengan siapnya projek bagi Rh Andah nanti, maka ia menjadi projek ketujuh SEB dalam menyediakan bekalan elektrik tenaga solar di rumah-rumah panjang di Batang Ai,” katanya.

Menurut Goh, inisiatif SEB untuk melaksanakan projek bekalan elektrik tenaga solar di Batang Ai adalah disebabkan kesukaran untuk membekal bekalan elektrik menggunakan sistem grid ke rumah panjang tersebut hanya dapat dihubungi melalui sungai.

“Agak mustahil untuk kami melaksanakan sistem grid di sini kerana kedudukan rumah panjang sangat jauh selain tiada infrastruktur seperti jalan raya. Maka, sistem solar mencari sistem penyelesaian terbaik bagi SEB setakat ini untuk membekalkan elektrik kepada penduduk di kawasan ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya projek perintis telah dilaksanakan di Rh Manggat dan Rh Kino pada 2014 dan selepas itu, ia mendapat permintaan yang baik daripada rumah-rumah panjang lain di Batang Ai.

Ekoran itu, katanya SEB telah meneruskan inisiatif bagi membantu masyarakat pedalaman tersebut untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dengan melaksanakan projek secara berperingkat ke rumah panjang lain.

Jelas beliau, Rh Andah lambat menerima projek tersebut kerana ia baharu siap dibina, selepas musnah dalam kebakaran pada 2014.



image Polls
image Announcement