
TUKAR DOKUMEN: Teo (kanan) bertukar dokumen dengan pentadbir Wilayah Tengah Papua New Guinea Gei Guni Raga sambil disaksikan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem (dua kanan) dan Gabenor Wilayah Tengah Papua New Guinea Kila Hoada (dua kiri).
KUCHING: Kerajaan Wilayah Tengah Papua New Guinea (PNG) menjadikan Sarawak sebagai model dalam pelaksanaan pembangunan teknologi maklumat (IT) di wilayah tengah negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) Datuk Teo Tien Hiong berkata Sarawak merupakan salah satu daripada penyedia IT terkemuka di Malaysia. Malah menurut Teo, pelaksanaan pembangunan IT di Sarawak turut mendapat pengiktirafan antarabangsa sehingga menarik minat kerjasama daripada PNG.
“Kami telah melaksanakan pembangunan IT di Sarawak selama 23 tahun dan telah berjaya membantu negeri sehingga muncul sebagai salah satu daripada pelaksana IT terkemuka di Malaysia.
“Ini adalah antara sebab mengapa mereka berminat menjalinkan kerjasama dengan kami dan menjadikan Sarawak sebagai model bagi mereka membangunkan IT di negara mereka,” katanya.
Teo berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kerajaan Wilayah Tengah PNG dan SAINS semalam.
Majlis tersebut berlangsung di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia di sini.
Tambah Teo, selain PNG, negara-negara lain yang pernah bekerjasama dengan SAINS dalam pembangunan IT ialah Brunei, New Zealand, Australia, Kemboja dan lain-lain.
Menerusi MOA ini, SAINS akan membantu Wilayah Tengah PNG menerusi rakan saluran di negara itu untuk melakukan kajian pelan induk strategik bagi IT.
“Kedua-dua pihak iaitu SAINS dan Kerajaan Wilayah Tengah Papua New Guinea amat gembira dengan kerjasama penuh bersejarah ini kerana ini adalah kali pertama kami mengadakan projek yang pasti akan berjaya.
“Jika projek pertama ini berjaya, kami akan mencari peluang untuk menjalinkan aktiviti kerjasama yang lain pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu MOA yang ditandatangani itu semalam akan dilaksanakan segera dalam beberapa bulan akan datang.
Secara amnya, MOA ini akan meliputi mereka dari segi IT pada masa kini, di mana mereka mahu dari segi IT dan bagaimana untuk membolehkan mereka mencapai apa yang dimahukan dalam IT.