News

 

Punca sebenar gangguan elektrik diketahui dua bulan lagi

Posted on 18 Jul 2013
Source of News: The Borneo Post

KUCHING: Punca sebenar gangguan sistem bekalan elektrik di negeri ini mungkin akan diketahui dalam tempoh dua bulan lagi.

 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, kementerian telah melantik syarikat konsultan untuk menjalankan kajian menyeluruh tentang gangguan sistem bekalan elektrik di Sarawak.

 

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konsultasi Bajet 2014 di sini semalam, beliau memberitahu syarikat tersebut, Poyry Energy Sdn Bhd akan mengkaji tentang sistem transmisi elektrik supaya tidak berlaku gangguan bekalan di negeri ini.

 

“Esok (hari ini) saya akan mempengerusikan satu mesyuarat di Kuala Lumpur di mana ia akan disertai pihak konsultan, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sarawak Hidro Sdn Bhd bagi mendapatkan hasil awal gangguan elektrik di negeri ini khasnya di Kuching.

 

“Sebenarnya, kita telah melantik konsultan ini dua bulan lepas iaitu sebelum berlaku gangguan dan hasil (siasatan) akan kita ketahui dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya.

 

Tambah beliau, pada mesyuarat itu nanti pihak berkaitan akan mengetahui lebih mendalam tentang situasi sebenar gangguan tersebut sama ada berpunca dari Empangan Hidroelektrik Bakun atau sistem transmisi yang harus diperkukuhkan.

Sarawak Hidro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan Malaysia, telah diamanahkan untuk membangun dan menguruskan Projek Hidroelektrik Bakun sejak 1 Mei 2000.

 

Pada 27 Jun lepas, hampir seluruh Sarawak bergelap akibat gangguan bekalan elektrik mulai kira-kira jam 6 petang semalam dan beransur pulih berperingkat-peringkat di beberapa kawasan selang lebih sejam kemudian.

 

Pengurus Komunikasi Korporat SEB Ahadiah Zamhari menerusi satu kenyataan pada hari yang sama berkata, ketiadaan bekalan elektrik berpunca daripada gangguan litar di transmisi kuasa Kemena-Bintulu pada jam 5.40 petang.

 

Sementara itu, sidang media sama turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga organisasi iaitu Persatuan Pengilang Bumiputera Sarawak (PENGASAS), Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Dewan Usahawan Industri Desa Sarawak.

 

Majlis Konsultasi Bajet 2014 yang bertemakan ‘Mengotakan Janji Merancak Transformasi’ turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin.



Read more: http://www.theborneopost.com/2013/07/18/punca-sebenar-gangguan-elektrik-diketahui-dua-bulan-lagi/#ixzz2abM8riLT



image Polls
image Announcement