News

 

Naik taraf Loji Rawatan Air Bayai giat dilaksana

Posted on 22 Jun 2013
Source of News: The Borneo Post

KUCHING: Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Bayai sedang giat dijalankan membabitkan pertambahan 20 juta liter sehari (MLD) kapasiti air terawat bagi menampung keperluan mendesak di Sri Aman.

 

Pertambahan 20 MLD itu bakal menyaksikan loji berkenaan mampu membekalkan sehingga 30.3 MLD air terawat berbanding hanya 13.3 MLD sekarang.'

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek yang menelan belanja RM43 juta dijangka siap sepenuhnya pada 22 Mei tahun depan.

 

“Sekarang, kerja-kerja menaik taraf ini sudah dilaksanakan lebih 30 peratus. Dengan siapnya projek menaik taraf nanti, loji ini mampu membekalkan 33.3 MLD air terawat.

“Ini merupakan pendekatan yang kita ambil untuk meningkatkan tekanan air di Sri Aman,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

 

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Danien Rangu.

Loji Rawatan Air Bayai mula diwujudkan pada tahun 1974 dengan kapasiti 5.4 MLD dan kemudiannya dinaik taraf kepada 13.3 MLD pada tahun 2006.

 

Pendekatan lain yang diambil untuk mengatasi masalah kekurangan air di Sri Aman, menurutnya, adalah melibatkan penukaran kesemua sistem paip air di Sri Aman.

“Paip ini perlu ditukar juga kerana sudah berusia lebih 40 tahun. Kita menjangkakan memperoleh RM12 juta untuk penukaran sistem paip,” ujarnya.

 

Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, buat sementara waktu tangki akan dihantar ke kawasan yang mengalami masalah ketiadaan air.

 

“Ini merupakan pendekatan segera untuk menyelesai masalah ketiadaan air di Brayun, Taman Sri Jaya dan Kedang,” jelasnya.

 

Tambahnya, masalah bekalan air dialami penduduk Sri Aman disebabkan pertambahan projek pembangunan terutama taman perumahan.

 

“Pada tahun 2008 terdapat 8,141 meter sambungan air terawat namun sekarang ia meningkat kepada 8,977 meter sambungan,” kata Francis.

 

Pada masa sama, Francis menasihati penduduk Sri Aman agar menjimatkan penggunaan air terutama pada musim kemarau sekarang.

 

Penduduk Sri Aman yang mengalami masalah gangguan air diminta menghubungi talian 083-321620 atau faks kepada 083-320031 untuk sebarang aduan.



Read more: http://www.theborneopost.com/2013/06/22/naik-taraf-loji-rawatan-air-bayai-giat-dilaksana/#ixzz2Y2D9nFCn



image Polls
image Announcement