KUCHING: Penakungan air di Empangan Hidroelektrik Bakun yang bermula sejak 13 Oktober 2010 telah mencapai tahap bekalan penuh iaitu 228 meter (m) di atas paras laut setakat Jumaat lepas (9 Mac).
Pengarah Urusan SHSB Zulkifle Osman berkata, saiz takungan air di empangangan itu sekarang ialah melebih 695 kilometer persegi, bersamaan dengan keluasan negara Singapura.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan peraturan operasi alur limpahan, takungan air itu perlu diturunkan enam hingga lapan meter di bawah tahap bekalan penuh.
Beliau memberitahu, paras itu akan dikekalkan sehingga ke muatan Sistem Bekalan Elektrik Sarawak (Sarawak Electricity Supply System) meningkat bagi membolehkan takungan beroperasi pada kekuatan sepenuhnya.
Kerja-kerja menurunkan paras air takungan dijadual diteruskan hari ini (Isnin), tambahnya.
“Kerja-kerja menurunkan paras takungan air juga penting bagi mengelak banjir berlaku di kawasan takungan seterusnya mengurangkan puncak alur limpahan yang dikeluarkan ketika banjir, dengan itu banjir di bahagian hilir dapat dikawal,” jelas beliau dalam kenyataan akhbarnya semalam.
Beliau turut memberitahu bahawa sejak 11 November tahun lalu, Empangan Hidroelektrik Bakun telah melepaskan secara berterusan kira-kira 500 meter padu persaat (3m/s) air menerusi alur limpahannya dan sehingga 300m3/s dari pusat jana kuasa (powerhouse) bagi membolehkan aliran sungai tanpa had terutama untuk perjalanan bot-bot ekspres penumpang antara Kapit-Belaga-Bakun.
Setakat jadual penurunan paras takungan hari ini katanya, jumlah air yang dilepaskan ke bahagian hilir akan tiga kali lebih banyak iaitu 2,500 m3/s.
“Ini adalah kira-kira 1.6 kali aliran purata jangka panjang Batang Balui (1,500 m3/s) tetapi jauh lebih rendah daripada aliran tinggi sungai tersebut.
“Dijangkakan dengan pelepasan (air) tambahan ini, paras hilir sungai akan terus meningkat dan aliran air sungai akan menjadi lebih cepat.
“Oleh yang demikian, pengguna-pengguna sungai dan penduduk di kawasan hilir empangan dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga terhadap peningkatan paras air sungai dan aliran air sungai yang tidak menentu,” ujarnya.
Beliau juga berkata SHSB, selaku pemilik Empangan Hidroelektrik Bakun mahu berterima kasih kepada penduduk di hilir kerana memahami dan kerjasama sepanjang tempoh penakungan dibuat.
“Pengguna di hilir sungai telah mendapat manfaat daripada perjalanan sungai yang tidak terganggu,” ujarnya.