SIBU: Kadar bayaran pampasan tanah dan tanaman yang terlibat dengan pembinaan projek talian kuasa di negeri ini mungkin dinaikkan.
Pengurus Kanan (Way Leave) Sarawak Energy Berhad (SEB) Sipol Ambun berkata, lembaga pengarah sedang mengkaji kadar kenaikan tersebut.
“Ini adalah berita baik untuk mereka yang terlibat dengan projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog dengan pemimpin masyarakat tempatan di dewan serba guna Pejabat Daerah di Kanowit di sini.
Sipol berkata pelaksanaan projek itu akan dilakukan dalam dua fasa yang bermula dari Similajau di Bintulu hingga ke Nanga Tada di sini, iaitu kira-kira 200 kilometer (km).
Katanya, fasa kedua pula melibatkan jarak kira-kira 300 km iaitu dari Nanga Tada ke Tondong di Bau.
Di Nanga Tada, beliau menjelaskan, projek berkenaan akan melibatkan 24 rumah panjang dengan mengambil sumber kuasa daripada empangan hidroelektrik Bakun dan Murum.
Beliau juga menasihati mereka yang terlibat supaya menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati sekiranya terdapat sebarang pertikaian.
“Jika boleh, cuba elakkan sebarang salah faham,” ujar beliau.
Sementara itu, Pegawai Tadbir (SAO) Negeri Jabang Juntan dalam ucapannya menasihati orang ramai supaya bekerjasama dengan agensi pelaksanaan.
Menurut beliau, ia bertujuan memastikan projek yang direncanakan dapat berjalan dengan lancar.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pemanca Spencer Kudang dan Pegawai Jabatan Penerangan Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail.