Sibu rekodkan 50 peratus daripada jumlah kerugian dialami SESCo
KUCHING: Sibu kekal merekodkan peratusan tertinggi kes kecurian elektrik di negeri ini.
Kenyataan akhbar daripada Syarikat SESCo Berhad berkata, walaupun terdapat penurunan pada kadar kecurian dalam tempoh lapan bulan lalu, Sibu merekodkan 50 peratus daripada kerugian keseluruhan dialami SESCo disebabkan kecurian elektrik di negeri ini.
“Dalam aspek kerugian kewangan, SESCo rugi RM53 juta di Sibu kerana kecurian elektrik dalam tempoh 12 bulan lepas. “Jumlah ini adalah 50 peratus daripada jumlah kecurian elektrik di Sarawak,” kata kenyataan itu.
Disebabkan itu, tambah kenyataan tersebut, SESCo telah menubuhkan Pasukan Bertindak Eksekutif bagi menangani situasi tersebut.
Pasukan tersebut mendapat bantuan daripada polis baru-baru ini dan telah melakukan pemeriksaan di beberapa premis sasaran di Jalan Pahlawan, Jalan Lanang dan pusat komersial Medal Mall di Sibu.
Operasi selama dua hari itu melibatkan 15 pasukan pemeriksaan teknikal dari Kuching dan bahagian lain di Sarawak serta pasukan polis dari Sibu membantu membanteras kegiatan mencuri elektrik di beberapa kawasan panas di sekitar Sibu.
“Pesalah ini dikenal pasti sebagai pesalah berulang, ada antara mereka menggunakan elektrik tanpa meter, ada yang mengubah suai bacaan meter dan pasukan teknikal tersebut turut melakukan pemeriksaan ke atas meter.
“Pelbagai tindakan diambil termasuk antaranya memutuskan bekalan elektrik kepada pesalah yang didapati menggunakan elektrik tanpa meter dan menempatkan semula di luar premis pelanggan,” jelas kenyataan itu.
Selain membuat pemeriksaan ke atas pelanggan dikenal pasti, SESCo turut melakukan pemeriksaan harian atau rutin di beberapa kawasan di Sibu berdasarkan maklumat daripada orang ramai.
“Kawasan-kawasan ini meliputi pusat komersial Delta Mall, pusat Komersial Medan Mall, Pusat Komersial Sibu Jaya, kawasan perumahan Rejang Park dan di sekitar Jalan Deshon.
“Secara keseluruhannya, 15 peratus meter yang diperiksa didapati telah diubah suai.
“Peratusan itu dianggap tinggi. Semua meter yang dibuah suai dirampas sebagai bahan buktik dan laporan polis telah dibuat bagi memudahkan siasatan,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut SESCo, mencuri elektrik adalah perbuatan yang berbahaya.
Diklasifikasikan sebagai jenayah dan boleh didakwa di mahkamah.
“Kesalahan mencuri elektrik dibicarakan di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik dan pesalah boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Orang ramai yang mengetahui kegiatan mencuri elektrik diminta melaporkannya kepada SESCo dengan menelefon nombor 082-349658 atau secara bertulis ke alamat: ‘The Controller, Revenue Management Control Centre, Wisma SESCo, Jalan Bako, Petra Jaya, 93673 Kuching, Sarawak’.
Read more: http://www.theborneopost.com/2011/10/24/sibu-paling-tinggi-kecurian-elektrik/#ixzz1fFiJJDQy