picture

News

 

Sarawak Berusaha Tingkatkan Liputan Telekomunikasi

Posted on 21 Mar 2023
Source of News: Edisi UKAS


SELASA, 21 MAC 2023

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menambah baik liputan telekomunikasi di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang berkata rangka kerja kawal selia mengenai perkara pendigitalan di Sarawak telah diwujudkan oleh Kerajaan untuk mencapai matlamat ini.

Katanya, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah ditubuhkan untuk menerajui dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan multimedia komunikasi dan inisiatif Ekonomi Digital Sarawak termasuk pembangunan telekomunikasi.

“Memandangkan tanggungjawab membangunkan infrastruktur telekomunikasi terletak pada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak masih campur tangan dan melengkapkan usaha Kerajaan Persekutuan dan membelanjakan RM1.89 bilion untuk mempercepatkan pembangunan telekomunikasi khususnya di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurut beliau, walaupun terdapat 97 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia telah diliputi oleh rangkaian 4G, liputan rangkaian 4G di Sarawak hanya meliputi 54 peratus daripada kawasan berpenduduk.

Tambahnya, Sarawak kini memiliki 3,500 menara telekomunikasi dan struktur dan memerlukan 3,500 lagi untuk mencapai liputan penuh.

Datuk Liwan berharap penyiapan SMA Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) akan menambah baik liputan telekomunikasi di kawasan berpenduduk. -EDISI UKAS



picture Announcement