News

 

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi giat perkukuh prestasi sistem bekalan secara berperingkat: Julaihi

Posted on 02 Dec 2025
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2025/12/01/kementerian-utiliti-dan-telekomunikasi-giat-perkukuh-prestasi-sistem-bekalan-secara
Gambar UKAS

Gambar UKAS
 

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi melalui Sarawak Energy sedang giat memperkukuhkan prestasi sistem bekalan secara berperingkat bagi memastikan kualiti bekalan elektrik boleh dipercayai terutama di luar bandar.

Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata antara usaha penambaikan dilaksanakan ialah pembinaan talian pengagihan menggunakan teknologi talian voltan sederhana berpenebat Medium Voltage Covered Conductor (MVCC), pembinaan talian atas Double Circuit Monopole, pembinaan pencawang 33/11kV baharu dan menaik taraf alat ubah (transformer).

Setakat ini katanya, sepanjang 273km projek talian pengagihan MVCC utama telah siap dilaksanakan di seluruh Sarawak berbanding 244 km.

Ia melibatkan Petian ke Dalat (36 km), Kanowit ke Nanga Ngungun (34 km), Kanowit ke Julau (35 km), Murum Junction ke Belaga (59 km), Tatau ke Sangan (28 km), Similajau ke Sebauh (52 km) dan Bunut ke Long Lama (29 km), tambahnya.

 "Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM150 juta bagi menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Bahagian Samarahan.

"Projek yang telah dilancarkan pada 23 November 2025 oleh Yang Amat Berhormat Premier baru-baru ini di Dewan Kampung Sampat Sebangan, Sebuyau akan meningkatkan prestasi bekalan elektrik bagi talian pengagihan di Daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong. Kerja-kerja telah bermula sebaik sahaja projek dilancarkan," jelasnya.

Beliau memberitahu selain daripada projek naik taraf di bahagian Samarahan, Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM425 juta untuk menaik taraf bekalan elektrik di Lundu, Lubok Antu, bahagian Betong, Sungai Asap dan Lawas di bawah  Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Menyentuh mengenai Sistem Penghantaran Grid Sarawak Julaihi berkata, talian penghantaran 500kV dari Bunut ke Similajau telah siap pada Ogos 2025.  

Ini katanya, melengkapkan sistem grid 500kV dari Wilayah Utara (Bunut Miri dan Similajau Bintulu) ke Wilayah Tengah (Mapai Sibu) dan seterusnya ke Wilayah Selatan (Tondong Bau).

"Keseluruhan projek sistem grid 500kV ini menelan kos sebanyak RM3.4 bilion.

"Ketika ini, talian penghantaran ini beroperasi pada voltan 275kV dan akan ditingkatkan kepada voltan 500kV apabila Stesen Jana Kuasa Hidroelektrik Baleh mula beroperasi pada suku keempat tahun 2029," katanya.

"Projek talian penghantaran 275kV dari Bunut ke Lawas pula telah beroperasi sejak minggu ketiga November 2025 dan seterusnya ke Sabah akan mula beroperasi pada pertengahan bulan Disember ini.

"Saya juga ada berita baik untuk dimaklumkan kepada penduduk Lawas. Mulai 4 Disember ini, Lawas tidak perlu lagi bergantung kepada Stesen Jana Kuasa Diesel (genset) di mana sistem bekalan elektrik bagi daerah Lawas akan disambung terus kepada Sistem Grid Utama Sarawak," ujarnya.

Manakala sambungan Limbang ke Sistem Grid Utama Sarawak beliau berkata projek itu kini dalam pembinaan pada kadar 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2026.



image Announcement