picture

News

 

Permohonan peruntukan tambahan selesaikan masalah air di Sarawak

Posted on 22 Mar 2023
Source of News: https://suarasarawak.my/permohonan-peruntukan-tambahan-selesaikan-masalah-air-di-sarawak/
 

JULAIHI NARAWI ketika Lawatan Kerja ke Betong dan Loji Rawatan Air Spaoh dekat sini, hari ini. FOTO OSMAN RAZALI


SPAOH: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi telah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan bagi menyelesaikan masalah air di seluruh Sarawak menjelang 2030.

Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata, menjelang 2030 pihaknya mempunyai perancangan jangka panjang supaya semua kawasan di Sarawak mendapat bekalan air bersih.

Beliau berkata, kementeriannya sedang menyediakan permohonan tambahan kerana kebanyakan projek yang ada sekarang berdasarkan Projek Rakyat, yang mana diluluskan oleh Premier Sarawak sebanyak RM4 bilion.

“Sekarang semua projek tersebut hampir siap…maka selain fokus kepada bekalan air bersih, kita juga melihat bagaimana hendak mendapat bekalan air mentah mencukupi.

“Justeru, menerusi MUT kita sudah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan untuk pertimbangan Kerajaan Sarawak bagi menyelesaikan masalah air di seluruh Sarawak menjelang 2030,” katanya kepada media semasa Lawatan Kerja ke Betong dan Loji Rawatan Air (WTP) Spaoh dekat sini, hari ini.

Jelasnya, jika peruntukan tambahan dapat diluluskan terutama dalam semakan pertengahan penggal ini, MUT secara berperingkat-peringkat dapat melaksanakan projek keutamaan di seluruh Sarawak.


JULAIHI NARAWI serta rombongan diberikan taklimat oleh Jurutera Bahagian JBALB Bahagian Betong Tay Chiao Teck tentang operasi Loji Rawatan Air Spaoh selepas dinaik taraf, di sini, hari ini. FOTO OSMAN RAZALI


Ditanya tentang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Sarawak, Adun Sebuyau itu memaklumkan, terdapat 11 projek dicadangkan untuk penyelesaian jangka panjang isu air.

Di bawah RMK-12 (Sarawak), katanya terdapat 11 projek cadangan untuk jangka panjang dan kementeriannya telah mengenal pasti di mana WTP baharu patut dibina, begitu juga kolam air mentah yang harus ditambah dan sebagainya.

“Ada satu yang telah diluluskan iaitu projek menaik taraf WTP Lubau sebagai penyelesaian ke hadapan dengan kos RM165 juta yang dibiayai Kerajaan Sarawak.

“Kini menunggu pelaksanaan dan kita akan mengatur dokumen tender dan sebagainya dalam masa terdekat.

“Naik taraf WTP Lubau kepada 60 juta liter sehari (MLD) air daripada 30 MLD air sedia ada, secara keseluruhan akan meningkatkan bekalan air bersih di bahagian Betong,” ujarnya.

Julaihi mengharapkan projek naik taraf loji berkenaan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Sehingga kini katanya, bahagian Betong mempunyai tujuh WTP yang menghasilkan 86.65 MLD air iaitu Lichok, Beladin, Maludam, Pusa, Kaki Wong, Spaoh dan Lubau.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi I Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas turut hadir.

 


picture Announcement