BINTULU: Rakyat di negeri ini harus memahami akan manfaat yang mereka perolehi dalam jangka masa panjang melalui pembinaan empangan hidroelektrik, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Katanya Sarawak merupakan sebuah negeri luas dengan populasi penduduk yang semakin bertambah dan pembinaan empangan hidroelektrik membantu membekalkan kuasa elektrik dan manfaat bagi kesenangan penduduk.
“Rakyat harus berpandangan jauh serta menyokong pembinaan hidroelektrik di negeri ini khususnya yang bakal dibina di Baram, kerana berupaya merubah kawasan terbabit yang banyak ketinggalan dari segi prasarana dan infrastruktur,” katanya ketika merasmikan Program Pasukan Berprestasi Tinggi 2013 (HPT 2013) di sini pagi semalam.
Beliau mengambil contoh pembinaan Empangan Hidroelektrik Bakun di Belaga yang memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan terbabit apabila taraf kehidupan mereka jauh lebih baik jika dibandingkan sebelum empangan dibina.
Jelasnya, rakyat harus sedar bahawa pembinaan empangan bukan sahaja meningkatkan taraf kehidupan serta ekonomi penduduk setempat, namun pada masa sama mewujudkan banyak industri hiliran yang dapat diceburi mereka.
“Kalau dahulu kita tidak pernah membayangkan jalan raya dibina ke kawasan Sungai Asap, Belaga yang terletak jauh di Hulu Rajang, tetapi apa yang kita lihat sekarang kawasan terbabit mengalami proses transformasi pesat yang memberi keuntungan kepada penduduk setempat terutama dari segi sosioekonomi serta tahap kehidupan lebih baik.
“Justeru, tidak ada sebab untuk menolak pembinaan empangan hidroelektrik di negeri ini kerana ia berupaya merubah landskap ekonomi penduduk setempat khususnya masyarakat di luar bandar,” ujarnya.
Menurut Taib, pembinaan empangan membolehkan beberapa bandar lagi bakal diwujudkan di negeri ini dalam jangka masa 20 hingga 30 tahun akan datang.
“Inilah antara bentuk kemajuan yang kerajaan negeri rancangkan bagi membangunkan kawasan pedalaman sekali gus menjadi alternatif bagi menyeimbangkan populasi penduduk bandar dan luar bandar iaitu mewujudkan pekerjaan di luar bandar bagi mengelakkan generasi muda terus berhijrah ke kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata bahawa pembinaan empangan turut memberi peluang kepada penduduk setempat menceburi industri hiliran serta peluang kerja yang wujud daripada empangan tersebut.