News

Jangan jadi sebahagian statistik mangsa renjatan elektrik di tempat kerja
Posted on : 01 Jul 2022  Source of News: https://tvstv.my
 

Jangan jadi sebahagian statistik mangsa renjatan elektrik di tempat kerja

 

KUCHING, 30 Jun : Pengetahuan untuk mengendalikan elektrik dengan betul merupakan perkara asas yang perlu ada pada setiap individu.

Tahukah anda, sekiranya elektrik tidak dikendalikan secara selamat, anda mungkin terdedah kepada bahaya tanpa disedari?

Situasi ini bukan sahaja menjurus kepada kecederaan parah dan kemusnahan harta benda, malah ia juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mendedahkan, secara puratanya Sarawak melaporkan lapan kes kemalangan elektrik setiap tahun yang majoritinya melibatkan kawasan tempat kerja.

Pengarah Bekalan Elektrik kementerian, Syed Mohamad Fauzi Shahab memberitahu, sejak 2013 Sarawak merekodkan lebih 80 kes kemalangan elektrik termasuk yang mengakibatkan kematian.

Pengarah Bekalan Elektrik kementerian, Syed Mohamad Fauzi Shahab.

 

“Sebagai contoh aktiviti kerja pada jarak yang tidak selamat dengan talian atas bervoltan tinggi.

“Individu tidak perlu terkena atau bersentuhan dengan talian ini, kerana sambaran sahaja (flashover) juga sangat berbahaya.

“Setakat ini di Sarawak sebanyak 50 kes kemalangan dilaporkan dengan 28 kematian,” katanya dalam temu bual khas bersama TVS baru-baru ini.

Selain itu, statistik juga menunjukkan premis-premis komersial, industri dan tapak pembinaan turut menyumbang kepada jumlah kes kemalangan elektrik dengan 18 kes direkodkan.

Daripada jumlah itu 10 kematian direkodkan akibat pemasangan yang tidak selamat.

Operasi penguatkuasaan dan pematuhan dari pihak kementerian
Sumber : Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

 

Beliau turut menasihatkan sekiranya menjalankan kerja berdekatan dengan talian atas voltan tinggi, individu terlibat perlu berhubung dengan pihak pembekal elektrik iaitu Syarikat SESCO Berhad untuk memastikan tapak kerja selamat daripada risiko kemalangan elektrik.

“Apa yang menjadi kebimbangan adalah sikap individu yang kurang peduli terutamanya pemasangan elektrik di premis domestik,”katanya.

Selain itu sikap ‘tidak bertamadun’ segelintir individu yang cuba mencuri kabel serta tembaga di kawasan pemasangan elektrik boleh mengakibatkan kematian.

Tegasnya, kesedaran individu mengenai keselamatan elektrik amat penting bagi membantu mengurangkan kemalangan.

Justeru, pihak kementerian melalui bahagian penguatkuasa mempergiatkan program kesedaran dan kemasyarakatan di kampung-kampung termasuk pentauliahan institusi-institusi sebagai pusat latihan serta peperiksaan kompeten bagi melahirkan pekerja mahir yang kompeten dan berpengetahuan. -TVS

Useful Links